Wednesday 28 October 2009

Articles from Ustaz Ahmad Adnan

Tiada kejayaan tanpa kerja dan usaha. Sejauh mana kerja dan usaha kita, sejauh itulah kejayaan yang bakal kita perolehi. Dalam satu kaedah para ulamak, disebutkan bahawa: “الجزاء من جنس العمل” (Balasan/ganjaran yang diperolehi bergantung kepada usaha/kerja yang setimpal dengannya).


Setiap sesuatu berlaku dengan ketentuan daripada Allah taala. Kenyang dan lapar adalah ketentuan Allah. Begitu juga sakit dan sihat, tenang dan resah, suka dan duka, berjaya dan gagal, susah dan senang, miskin dan kaya, hidup dan mati dan sebagainya; semuanya adalah ketentuan Allah taala. Semua ketentuan ini ada sebab-sebabnya masing-masing. Bersama Musabbabat diciptakan Asbab.


Allah taala mencipta ketentuan-ketentuannya tadi secara berpasangan dan kemudiannya ia memberi peluang kepada manusia untuk memilih/menentukan mana satu ketentuan yang ia suka atau kehendaki dengan berta’amul dengan sebab-sebab yang dicipta bersama-sama dengan semua ketentuan. Seseorang yang ingin menjadi kaya, ia hendaklah melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kepada kekayaan. Begitu juga dengan ketentuan yang lainnya.


Manusia boleh mengelak daripada satu ketentuan kepada satu ketentuan yang lain; daripada ketentuan yang baik kepada ketentuan yang buruk atau sebaliknya. Begitu juga manusia boleh menolak satu ketentuan dengan satu ketentuan yang lain. Berkata Imam ibnu Qayyim al Jauzi: “Orang yang benar-benar faqeh (bijaksana) ialah orang yang menolak sesuatu qadar (ketentuan) dengan qadar yang lain, mengangkat satu qadar dengan qadar yang lain dan menentang satu qadar dengan satu qadar yang lain. Bahkan manusia tidak akan berupaya untuk hidup tanpa melakukan tindakan yang sebegini. Ini kerana lapar, dahaga, sejuk dan lain-lain lagi perkara yang ditakuti dan dibimbangi oleh manusia, semuanya adalah tergolong di dalam qadar dan semua makhluk berusaha untuk menolak qadar-qadar ini dengan beralih kepada qadar-qadar yang lain (yang mengembirakan)”.


Kita boleh mengelak daripada qadar (ketentuan) gagal dengan beralih kepada qadar berjaya.Untuk sampai kepada qadar berjaya kita hendaklah berta’amul dengan sebab-sebab kejayaan iaitu usaha dan amal. Seseorang muslim diajar supaya melakukan dua amal (kerja) untuk memastikan kejayaannya:-


1. Amal anggota (الجوارح) iaitu الأخذ بالاسباب (mengambil dan melakukan segala sebab-sebab yang membawa kepada kejayaaan).
2. Amal hati (القلب) iaitu bertawakal kepada Allah dan mengharapkan pertolongannya.
* * * * *

Kita menyedari apa yang sepatutnya dilakukan untuk kejayaan kita tetapi kita tidak melakukannya. Misalnya, ramai di kalangan kita menyedari kepentingan waktu dalam menentukan kejayaan tetapi tidak ramai yang mampu menjaganya. Begitu juga ramai yang tahu perlunya tanzim, tetapi tidak ramai yang mampu menjadikan kehidupannya bertanzim. Kadang-kadang kita merancang atau meletakkan planning untuk melakukannya tetapi kita tidak berupaya memaksa diri untuk mematuhinya. Kenapakah ianya berlaku? Dimanakah silapnya???


Disinilah peri pentingnya “Keupayaan Menguasai Diri”. Orang yang berupaya menguasai dirinya dialah yang akan menempa kejayaan.


Dalam menentukan kejayaan samada dunia maupun akhirat, aset yang paling utama ialah diri kita sendiri (aqal kita, anggota kita, nafsu kita dan lidah kita). Justeru itulah keupayaan menguasai diri menjadi terlalu amat penting. Berkata Syeikh Mohd Al-Ghazali: “Manusia apabila mampu memiliki dirinya dan menguasai waktunya maka ia akan berupaya untuk melakukan banyak perkara tanpa menunggu datangnya dorongan-dorongan dari luar untuk menolongnya mencapai apa yang dicita-citakan. Dengan kekuatan dan kebolehan yang ada padanya, disertakan pula peluang yang diberikan, ia akan mampu untuk membina kehidupannya yang baru”.


As- Syeikh Sya’rawi ketika ditanya tentang rahsia kejayaan, beliau berkata: “Rahsia kejayaan ialah seseorang itu menggunakan aqalnya untuk menentukan cita-citanya. Kemudiannya dengan menggunakan aqal juga ia menggariskan jalan -jalan yang boleh menyampaikannya kepada cita-cita tersebut. Seterusnya ia menjadikan seluruh anggotanya untuk berkhidmat dan bekerja bagi memenuhi cita-citanya dengan melalui jalan-jalan yang digariskan tadi”.

* * * *

Diriwayatkan di dalam satu hadis, pada suatu hari Nabi s.a.w. masuk ke dalam masjid baginda dan mendapati seorang sahabat yang dipanggil Abu Umamah r.a. duduk termenung dalam keadaan muram pada ketika sahabat-sahabat yang lainnya bertebaran di muka bumi dengan urusan masing-masing. Lalu Nabi bertanya beliau: “Wahai Abu Umamah! Apakah masalah kamu sehingga menyebabkan kamu masih berada di dalam masjid pada saat ini?”. Abu Umamah menjawab: “Aku dirundung duka dan dibebani hutang-piutang (menyebabkan kepalaku berserabut dan susah hati). Nabi berkata kepadanya: “Mahukah kamu kalau aku ajarkan kepadamu satu doa. Jika kamu membaca doa tersebut pada waktu pagi dan petang nescaya Allah akan menghilangkan segala masalah kamu? Abu Umamah menjawab; “Sudah tentu, ya Rasulullah”. Nabi pun mengajar beliau doa di bawah:


اللهم انى أعوذ بك من الهم واالحزن، وأعوذ بك من العجز والكسل، وأعوذ بك من الجبن والبخل ، وأعوذ بك من غلبة الدين وقهرالرجال

“Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari dukacita dan sedih, aku berlindung denganMu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung denganMu dari penakut dan kedekut dan aku berlindung denganMu dari konkongan hutang dan dan paksaan orang lain”.
Berkata Abu Umamah: “Aku melakukan seperti mana yang diajar oleh Nabi, maka Allah menghilangkan kedukaanku dan membebaskan aku dari segala hutangku”.


Di dalam doa di atas, Nabi s.a.w. mengajar kita untuk berlindung dengan Allah Ta’ala daripada perkara-perkara yang boleh menggagalkan kita di dalam kehidupan :


1. Perasaan dukacita dan sedih.
2. Rasa sempit dada, malas, pengecut/takut dan bakhil .
3. Tekanan-tekanan daripada luar seperti bebanan hutang, masalah keluarga dan sebagainya.


Manusia kalau hidupnya diselaputi kesedihan dan kedukaan atau merasa sempit dada (العجز) dan malas untuk berfikir dan bekerja (الكسل) atau takut untuk menghadapi realiti (الجبن) dan bakhil untuk mengorbankan apa yang dimiliki untuk mencapai cita-citanya (البخل) nescaya ia tidak akan mampu untuk menghadapi kehidupannya dengan kesungguhan dan keceriaan. Hidup terumbang -ambing dan ia tidak akan berupaya untuk mencipta suatu yang membanggakan di dalam kehidupannya iaitu kejayaan dan kegemilangan .


Begitu juga, sekiranya pemikirannya serabut disebabkan oleh tekanan -tekanan luaran seperti bebanan hutang, masalah keluarga, masalah peribadi dan sebagainya, ia tidak akan berupaya menghadapi sesuatu dengan penuh keyakinan.


Justeru itu semua faktor-faktor kegagalan ini hendaklah kita hindarkan daripada kehidupan kita. Disamping kita berdoa kepada Allah Ta’ala, kita juga hendaklah berusaha untuk membuang sifat-sifat negatif tadi serta menguatkan semangat dan ketahanan diri untuk berhadapan dengan segala masalah dan tekanan yang timbul dalam kehidupan kita.


* * * * *

Dalam saat-saat ini iaitu saat-saat dimana kita mengharapkan kejayaan samada di dalam imtihan atau dalam urusan yang lainnya, sengaja persoalan -persoalan di atas dipaparkan sebagai muhasabah untuk kita bersama agar ia dapat memberi semangat kepada orang yang telah atau sedang berusaha untuk terus berusaha mengejar cita-cita atau kepada mereka yang masih leka dan belum berusaha untuk mula mengorak langkah menuju cita-cita. Kalau kita tidak mula menabur benih, selama-lamanya kita tidak akan dapat menikmati hasilnya.


Kita kadang-kadang mengharapkan kejayaan sedangkan sebab-sebab kejayaan berada jauh daripada kita dan faktor-faktor kegagalan masih lagi melingkungi tubuh kita.Kesimpulannya, kejayaan akan tercipta dengan kita melakukan tiga perkara:



1-Melakukan semua sebab-sebab yang boleh membawa kepada kejayaan.
2-Mampu menguasai diri sendiri.
3-Menghindari serta membuang segala faktor yang membawa kegagalan.

والله المستعان وولي التوفيق

************************************************************



3 comments:

NAdiah said...

THIS is a very good one. i like this article.

Akmaelinda said...

Geee,thanks nadiah.its a very good one indeed.

minanube said...

Thanks for sharing it. I take some :)

May Allah SWT protect you from all devils